Monday, December 8, 2008

Diari Kenangan….




Aku ialah anak tunggal dalam keluargaku. Oleh itu, kedua orang tuaku memberi sepenuh perhatian terhadapku. Mereka menyayangiku bagaikan menatang minyak yang penuh. Sikap prihatin dan tanggungjawab mereka membuatkan aku amat menghormati kedua orang tuaku.
Kini usiaku sudah menjangkau empat belas tahun atau kata orang sudah baligh atau lebih tepatnya memasuki alam remaja. Selama empat belas tahun, keluarga kami adalah sebuah keluarga yang bahagia. Tiba-tiba pada suatu hari ketika aku pulang dari sekolah aku terdengar bunyi riuh rendah yang datangnya dari dalam rumah. Aku menjadi hairan. Setahu aku pada waktu begini, kedua orang tuaku sedang bekerja.
Aku memasuki rumahku dan duduk di ruang tamu. Kedengaran suara ibuku lantang memaki hamun ayahku. Tiba-tiba kurasakan pipiku basah. Aku menangis. Ibu turun dari tingkat atas melintasiku. Daripada raut wajah ibu aku dapat merasakan yang ibu terkejut dengan kepulanganku. Ibu terus meninggalkanku yang masih terpinga-pinga terhadap semua yang telah berlaku.
Aku memberanikan diri untuk naik ke atas. Aku peluk ayah sambil bertanya mengapa perkara ini boleh terjadi. Ayah menyuruhku bersabar. Setelah aku kembali tenang sambil mengesat air mata jernihku, ayah menceritakan semuanya satu persatu. Menurut ayah, dia dan ibuku tidak dapat hidup bersama lagi. Ibu sudah mempunyai pasangan hidup yang baru kerana tidak sanggup lagi hidup bersama ayahku yang pendapatan bulanannya sudah berkurangan.
Memang aku akui sejak ayah meletakkan jawatan sebagai pegawai bank, hidup kami berubah sedikit. Kami tidak lagi mengunjungi restoran-restoran mewah seperti biasa yang kami lakukan sebelumnya. Ibu pula hanyalah kerani biasa yang lebih suka membelanjakan wangnya untuk membeli pakaian dan alat solek. Perbelanjaan harian semua ditanggung oleh ayah. Kini ayah bekerja sebagai juruaudit sebuah syarikat keselamatan dengan pendapatan RM 650 sebulan berbanding pendapatan dahulu berjumlah RM 2000 sebulan. Ibu tidak dapat menerima hakikat ini lalu minta ‘dibebaskan’.
Setelah mendengar penerangan ayah, hatiku meluap-luap menyumpah ibu kerana tidak bersyukur dan menerima takdir Ilahi. Namun, kata-kata ayah membuatkan aku sedar bahawa keputusan sudah dibuat dan aku harus menerimanya dengan hati yang tabah.
Sejak kejadian itu, hubungan aku dengan ayah semakin rapat. Segala sakit peningku ayah yang jaga. Sekarang bagiku ayahlah segala-galanya.
Setahun berlalu, ingatanku terhadap ibuku semakin hari semakin pudar.Apatah lagi ibu tidak pernah menjengukku sejak kejadian itu. Hanya sekali-sekala dia pulang ke rumah untuk mengambil barang-barang kepunyaannya. Selepas itu, ibu tidak muncul-muncul lagi. Melihatkan penat lelah ayah membesarkanku dan menjagaku, aku bertekad untuk membalas budi ayah. Aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membolehkan aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah yang akan menjelang tidak lama lagi.
Masa berlalu begitu pantas. Keputusan PMR sudah berada dalam tanganku. Aku mencapai kejayaan yang cemerlang dengan memperolehi 9A. Tidak sabar rasanya untuk ku tunjukkan kepada ayah bahawa anak kesayangannya ini telah berjaya dalam peperiksaan.
Aku pulang ke rumah dengan wajah yang berseri-seri. Setibanya di rumah ku lihat Pak Long tercegat di muka pintu. Wajahku berubah serta merta. Pak Long memberitahuku bahawa ayah telah ditimpa kemalangan dan sekarang berada di wad kecemasan di hospital.
Tanpa berlengah-lengah lagi, Pak Long membawaku ke hospital. Di bilik aku melihat sekujur tubuh di atas katil dengan diselimuti kain putih. Serta merta pandanganku menjadi gelap.Aku merasakan bahawa dunia ini telah gelap kerana obor yang selama ini menerangi hidupku telah padam buat selama-lamanya. Orang yang paling kusayangi dan sama-sama menempuh perit dan jerih telah pergi menghadap Tuhan Pencipta Alam.
“Asiah Yusro Binti Kamal Ariffin”, Kedengaran namaku dipanggil sebagai seorang penerima Anugerah Pingat Emas Canselor seterusnya menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat. Hasil daripada duit peninggalan ayah untukku telah membolehkan aku berjaya dan sampai ke menara gading. Inilah hadiah teristimewa buat insan yang memberi jalan untuk ku berjaya bernama ayah.
Aku naik ke pentas dengan penuh keyakinan. Awan mendung telah berarak pergi. Kini aku telah mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan hati sewaktu sama-sama menuntut di alam persekolahan dulu. Alhamdulillah aku telah dikurniakan dua orang putera dan seorang puteri. Nasiruddin Al-Bani, Uwais al-Qorni dan Elya Khadeeja merupakan permata hati yang akan ku didik dan asuh mengikut tarbiah Islam. Kini yang tinggal hanyalah kenangan.Biarpun kenangan pahit, akan ku kenangi juga sepanjang hayatku agar peristiwa lepas tidak berlaku terhadap permata hati hidupku.

No comments: